Sifat kimia Alkana

  • Diikat dengan ikatan kovalen.
  • Bertindak balas dengan halogen seperti gas klorin dan membentuk monokloroetana, dikloroetana, trikloroetana dan tetrakloroetana dalam kehadiran sinar ultraungu. Penukargantian telah berlaku.
  • Menghasilkan karbon dioksida dan air apabila dibakar secara lengkap. Pembakaran yang tidak lengkap akan menghasilkan karbon dan karbon monoksida (melalui tindak balas pembakaran).
  • Tindak balas yang dijalani oleh alkana biasanya melalui mekanisme radikal bebas.
  • Boleh diprotonkan dengan asid super (super acids).

Tindak balas pembakaran

  • Semua alkana terbakar dalam oksigen, O2 dan membebaskan haba.

Pembakaran lengkap

Dengan bekalan gas oksigen yang berlebihan, alkana terbakar dengan lengkap untuk menghasilkan gas karbon dioksida, CO2 dan wap air sahaja. Contohnya pembakaran metana,CH4 lengkap :

CH4 (g) + 2O2 (g) → CO2 (g) + 2H2O (ce)

Pembakaran tidak lengkap

Dengan bekalan oksigen yang terhad, pembakaran alkana adalah tidak lengkap. Nyalaan adalah lebih berjelaga. Campuran karbon,C, gas karbon monoksida , CO, dan air, H2O, terhasil. Contoh pembakaran etana yang tidak lengkap:

C2H6 (g) + 2O2 (g) → C (p) + CO (g) + 3H2O (ce)

Semakin menuruni siri homolog alkana, nyalaan alkana semakin berjelaga dan pembakaran menjadi semakin sukar. Ini adalah kerana peratus kandungan karbon mengikut jisim dalam molekul semakin meningkat.


Tindak balas penukargantian

Tindak balas ini berlaku dalam kehadiran cahaya matahari atau sinaran ultraungu. Dalam tindak balas ini, atom-atom hidrogen dalam molekul alkana diganti dengan atom yang lain, seperti atom klorin atau bromin. Tindak balas penukargantian metana dengan klorin dapat ditulis seperti di bawah:

CH4 + Cl2 → CH3Cl(monoklorometana) + HCl
atau
CH4 + 2Cl2 → CH2Cl2(diklorometana) + 2HCl
atau
CH4 + 3Cl2 → CHCl3(triklorometana) + 3HCl
atau
CH4 + 4Cl2 → CCl4(tetraklorometana) + 4HCl